Tuesday, April 13, 2010

pesanan buat ratuku


بسم الله الرحمان الرحيم

Bismillah walhamdulillah


Agak sekian lama tidak mengupdate blog. Kali ini saya berpeluang untuk mencuri sedikit masa untuk mengpostkan artikel yang ringkas ini. mudah-mudahan di sini ada manfaat untuk semua. Alhamdulillah pada 9 April 2010, Biro Pembangunan Insan dan Biro Sukan & Aktiviti Luar PERUBATAN berjaya melancarkan satu lagi program mega bagi akhawat PERUBATAN seluruh Kaherah melibatkan Universiti Kaherah, Ain Syams dan Azhar iaitu Girl’s Day Out: Gala Busana Muslimah bertemakan “Kerana Aku Wanita”. Antara objektif program adalah :



1. Meningkatkan kualiti ukhuwwah di kalangan pelajar PERUBATAN meliputi semua universiti di Kaherah.

2. Memeriahkan lagi smart circle PERUBATAN dengan pelbagai bentuk pelaksanaan.

3. Memberikan ruang kepada ahli PERUBATAN untuk mempamerkan bakat melalui persembahan masing-masing.

4. Meluaskan ilmu pengetahuan para ahli, khususnya yang berkaitan dengan fesyen muslimah, etika pemakaian yang dibenarkan syara' dan perihal kesihatan berkaitan dengan wanita



Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini dan tahniah kepada semua pemenang. Insya Allah Girl’s Day Out (GDO) ini akan dijadikan acara tahunan bagi warga akhawat PERUBATAN Kaherah tetapi melalui method pelaksanaan yang berbeza. Namun saya di sini bukanlah ingin membicarakan secara penuh tentang program ini. apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah mengenai seorang perempuan, gadis, wanita, akhawat, muslimat dan sewaktu dengannya.



Sebagaimana yang kita semua maklum, wanita itu Allah kurniakan bermillion-million keistimewaan yang tidak terdapat pada lelaki. Wanita dikurniakan dengan sifat lembut dan penuh kasih sayang sesuai dengan fitrahnya sebagai seorang ibu. Teringat bait lagu dari kumpulan Hijjaz:



Lembutmu tak beerti, kau mudah dijual beli

Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti

Lembut bukan hiasan bukan jua kebanggaan

Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati



Kelembutan seorang wanita itu perlulah diletakkan pada tempatnya. Kita melihat kisah mujahidah kita sebagaimana Sumayyah yang kuat mempertahankan aqidah Islam walaupun semua ahli keluarganya dibunuh di hadapan matanya semata-mata supaya mereka meninggalkan agama Islam yang dianuti. Pepatah mengatakan “Tangan yang lembut menghayun buaian mampu untuk menggoncang dunia.” Begitulah yang kita idamkan daripada wanita masa kini yang tidak goyah pendiriannya dek peredaran zaman yang semakin memusnahkan. Masih kekal mempertahankan jati diri muslimah walaupun berbagai cubaan kaum kuffar untuk menggadaikan maruah suci seorang wanita itu.



Namun sahabat sekalian, apa yang kita lihat pada hari ini amat menyedihkan hati. Bayangkan jika Rasulullah S.A.W masih hidup, sudah tentu air mata baginda membanjiri dunia ini melihat kerosakan akhlak anak-anak gadis kita. Bagaimana dulu Islam berusaha menjaga maruah wanita sehinggakan penanaman anak perempuan hidup-hidup yang dilakukan oleh kaum jahiliah dihapuskan. Aurat wanita dijaga rapi supaya tidak dikacau oleh mana-mana tangan kasar yang tidak selayaknya. Tapi hari ini, kita menjatuhkan kembali martabat wanita dengan fesyen-fesyen kontemporari yang kononnya dikatakan mengikut perkembangan terkini. Maka makin ramailah wanita-wanita yang mempamerkan perhiasan diri mereka sehingga berlakulah gejala social yang tidak terkawal lagi.



“Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan menjaga kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak (terlihat) daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudungnya ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (An-Nur: 31)



Subhanallah..begitu Islam menitik beratkan kesucian wanita. Muslimahku, barangan yang kita sayangi tentulah kita akan menyimpannya dengan baik bukan? Emas yang dijual di kedai di letakkan dalam kotak kaca bahkan dikunci supaya tidak dicuri orang. Berbeza dengan perhiasan plastic yang hanya diletakkan diluar. Begitu juga umpamanya seorang wanita itu. Semuanya dijaga bukanlah untuk mengongkong kita bahkan untuk memelihara..kerana apa? Kerana wanita itu istimewa.



Sedarlah muslimahku..Dikau terlalu istimewa. Maka tutuplah auratmu dengan sempurna. Labuhkan tudungmu menutupi dadamu. Pakaianmu biarlah longgar dan tidak jarang. Tutur katamu biarlah sopan dan menyenangkan hati orang yang mendengar. Kerana suatu waktu, dikau akan bergelar seorang ibu yang bakal melahirkan generasi baru tunggak harapan ummah.



Sajak ini saya tinggalkan untuk pedoman muslimah di luar sana:


PESANAN BUAT

MUSLIMAHKU

Beritahu pada muslimah itu,

dirinya ibarat kaca;

disentuh terguris,

dihantuk serpih,

dihempap berkecai...


Beritahu pada muslimah itu,

jaga tutur kata;

cakap tinggi nanti dibenci,

terlalu rendah dipijak pula,

cakap sombong mengundang lawan,

hati-hati meluah kata,

kerana pulut santan binasa,

kerana mulut badan binasa...


Beritahu pada muslimah itu,

jaga tingkah laku;

harga diri letaknya di situ,

jangan meluru ikut telunjuk nafsu,

sesekali tersilap langkah,

akan dihukum selamanya,

keturunan dicerca payah,

menyesal kemudian bukan faedah...


Beritahu pada muslimah itu,

jaga pakaian;

ia cermin peribadi,

juga lambang bangsa,

di mana dan dalam keadaan macamanapun,

biar orang kenal...

Dia orang ISLAM...


Beritahu pada muslimah itu,

simpan secebis malu;

kerana malu itu,

sebahagian daripada IMAN...



Saya akhiri post kali ini dengan meninggalkan anda lirik lagu daripada kumpulan Hijjaz: “Puteriku Sayang”


Lembut mu tak bererti kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
Lembut bukan hiasan bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati

Disebalik bersih wajah mu disebalik tabir diri mu
Ada rahsia agung tersembunyi dalam diri
Itulah sekeping hati yang takut pada ilahi
Berpegang pada janji mengabdikan diri

Malu mu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
Tapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri

Ketegasan mu umpama benteng negara dan agama
Dari dirobohkan dan jua dari dibinasakannya
Wahai puteriku sayang kau bunga terpelihara
Mahligai syurga itulah tempatnya


No comments: