Thursday, January 29, 2009

Masih belum terlambat

Syukur kepada Allah kerana sehingga hari ini kita masih diberi peluang oleh Allah untuk terus bernafas mengecapi nikmat Iman dan Islam. Bersyukurlah kerana kita dilahirkan sebagai umat Islam dan seharusnya rasa syukur itu kita lipat gandakan dari sehari ke sehari sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih” (Ibrahim: 7)

Alhamdulillah musim peperiksaan selama hampir dua minggu bagi kami yang berada di bumi Mesir telah pun berakhir walau masih ada sesetengah universiti yang masih belum tamat. Pelbagai reaksi dapat dilihat selepas sahaja doktorah (pensyarah) mengumumkan masa menjawab telah tamat. Ada yang gembira, ada juga yang tidak berapa gembira, ada yang cuba untuk selamba, tak kurang juga yang tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Namun, apa jua mimik wajah yang anda pamerkan, janganlah sekali-kali putus untuk berdoa moga Allah berikan yang terbaik buat kita semua. Masih belum terlambat untuk kita memanjatkan doa dan bertawakal kepada Allah.
Maksud firman Allah dalam surah Ath-Thalaaq: 3

“ Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.”

Jadikanlah setiap detik kehidupan kita diwarnai dengan rasa syukur dan tawakal yang tinggi kepada Allah. Nescaya akan tenanglah hati kita walau menghadapi pelbagai onak liku dalam kehidupan. Kejayaan tidak akan berhasil tanpa usaha. Namun, harus diingat, usaha semata bukanlah penentu utama kejayaan tapi hanyalah sebagai pemudah cara untuk mencapai kejayaan. Kejayaan yang hakiki adalah apabila kita meletakkan ‘ghayah’ atau matlamat utama kita kerana Allah. Jadi, mantapkan usaha, banyakkan berdoa dan kukuhkan pergantungan hanya kepada Allah. InsyaAllah kejayaan yang abadi menanti kita di hadapan.

Friday, January 16, 2009

IMTIHAN oh IMTIHAN!!!


IMTIHAN OH IMTIHAN!!!

Imtihan, ujian atau peperiksaan amat sinonim dengan kehidupan sebagai seorang pelajar juga sebagai seorang yang bergelar hamba Allah. Pernah terdetik di hati saya satu ketika dahulu (ketika di alam kanak-kanak) :

‘kenapa kita perlu belajar dan menghadapi imtihan sedangkan nasib kita sudah ditentukan sejak azali lagi??’

Dan jawapannya tidak jauh dari kita semua. Semua sudah termaktub di dalam Al-Quran, kalam Allah yang tidak ada keraguan padanya.
Firman Allah:

Maksudnya: “Adakah manusia itu mengira bahawa mereka itu dibiarkan (saja) mengatakan: ‘kami telah beriman’, sedangkan mereka tidak di uji lagi?”
(surah Al-‘Ankabuut : 2)

Maha Suci Allah yang menjadikan tiap-tiap sesuatu itu ada hikmah yang tersembunyi yang susah untuk dirungkai oleh kita sebagai hambaNYA yang dhoif dan hina ini. Ujian mengajar kita erti sebenar sebuah kehidupan yang menguji tahap keimanan kita. Hidup bukanlah sesuatu yang mudah dan untuk mendapat syurga Allah yang hakiki juga bukanlah mudah.

Begitulah juga kita sebagai seorang pelajar. Imtihan hanyalah sekadar ujian untuk mengukur kemampuan kita menguasai ilmu yang dipelajari dan memperoleh cita-cita yang diimpikan sedari kecil.
Kita hayati lagi firman Allah dalam surah ar-ra’d : ayat 11

Maksudnya: “Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan dibelakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain DIA”

Setiap apa yang dijadikan Allah punya hikmah yang tersembunyi. Jadi bersyukurlah jika kita diuji kerana itu menandakan Allah masih menyayangi kita kerana DIA ingin kita menjadi seorang hamba yang sabar dan tabah serta sentiasa mengingatiNYA. Ibarat ibu bapa yang memarahi anaknya membuat sesuatu kesalahan bukan kerana benci tapi kerana sayang.Wallahua’lam

p/s: SALAM IMTIHAN dan SALAM MUJAHADAH buat sahabat-sahabat terutama yang akan menghadapi midterm exam di tengah-tengah cuaca sejuk di mesir sekarang. Mga Allah memberi kejayaan di dunia dan akhirat buat kita. Amin...

Tuesday, January 13, 2009

QUNUT NAZILAH

DOA QUNUT NAZILAH

Maksudnya “ Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur

Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”