Thursday, December 17, 2009

Hijrah sumber inspirasi..

Seperti biasa, saban tahun, musim sejuk yang dingin menyapa kembali. bumi mesir kembali mengalami perubahan musim. sudah hampir 2 bulan musim sejuk menjelma. apa yang menarik pada musim sejuk ini? tidur yang banyak kerana malam yang panjang?? sebenarnya musim sejuk ini mengajar erti pengorbanan terutama sebagai seorang pelajar. disebabkan pada musim ini, malam lebih panjang daripada siang, maka sangatlah elok jika di ambil peluang ini untuk study. tapi, harus di ingat, musim ini juga sangat kuat nafsu menggoda. nafsu makan, tidur, malas nak keluar dari saratoga (selimut tebal) dan sebagainya. maka dengan ini, perlulah kepada sifat untuk berkorban.

Bersesuaianlah dengan tahun baru Hijrah yang menjelma ini untuk kita hayati kembali sejauh mana pengorbanan yang telah kita lakukan berbanding dengan pengorbanan Rasulullah S.A.W dan para sahabat. tentulah antara langit dan bumi jauhnya. sesungguhnya pengorbanan mereka amat besar dalam membawa risalah Islam agar terus tertegak di muka bumi Allah ini. kita pula bagaimana?

Kehadiran tahun baru bukanlah semata-mata untuk kita raikan dengan majlis-majlis besar, atau nyanyian lagu-lagu nasyid yang mengingatkan tentang sirah penghijrahan Rasulullah dan para sahabat dari Mekah ke Madinah beribu tahun yang dulu. itu hanyalah dapat membangkitkan semangat dan ingatan kita. Namun, kedatangan tahun Hijrah lebih menggamit kita untuk menghayati erti sebenar hijrah dalam diri kita.

Tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah kerana negara Islam telah pun tertegak. Tapi hijrah kita pada masa ini adalah lebih kepada untuk membaik pulih apa yang telah sedia ada. Pemuliharaan dan pemeliharaan nilai-nilai murni dalam diri individu, keluarga, masyarakat dan negara. Berhijrah ke arah sesuatu yang lebih baik. Ia bukanlah semudah kita mempelajari ABC. Ianya memerlukan kefahaman yang jelas, keikhlasan, pengorbanan dan pengamalan.

Sebagai contoh, seorang yang bergelar pelajar, dalam menempuh hari-hari sebagai seorang pelajar, dia perlu faham kenapa dia perlu ke sekolah, belajar, menyiapkan kerja rumah yang diberikan dan sebagainya. Dari situ dia akan berusaha untuk mengikhlaskan diri dalam pelajaran, dan mengorbankan masa bermainnya untuk memenuhi tuntutan sebagai seorang pelajar.

Begitu juga dalam konteks kita sebagai seorang hamba dan khalifah di bumi ini. Pertamanya, kita perlu faham tentang tujuan hidup kita yang sebenarnya. Allah menjadikan kita atas dunia ini bukanlah semata-mata untuk berseronok, menghabiskan masa dengan shopping, bermain-main, menikmati usia muda dan lain-lain keseronokan dunia. Tapi keberadaan kita atas dunia ini menuntut sesuatu yang lebih daripada itu. Terkadang dalam membawa peranan kita mengikut skrip yang telah disediakan, memerlukan kita untuk bekerja keras dan berusaha mengikut apa yang telah digariskan supaya jalan ceritanya nanti tidak cacat dan menarik.

Namun realitinya kini, skrip yang ada telah dicemari dengan tangan-tangan kotor yang mahu mensabotaj apa yang kita ada kerana mereka dengki dengan apa yang kita miliki hasil perjuangan junjungan besar Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Mereka tidak boleh melihat kita bersenang-lenang dengan kekayaan akhlak dan budi pekerti kita. Mereka iri dengan kegemilangan yang telah kita kecapi selama ini.

Sayangnya kita tidak menyedari semua itu. Dan jika kita sedaripun, kita seolah-olah menyetujui perbuatan mereka kepada kita. Sehinggakan undang-undang Islam diketepikan, pemuda-pemudi harapan kita dilekakan dengan kecintaan kepada dunia yang tidak kekal. Musuh-musuh Islam bergelak ketawa dengan propaganda yang mereka lakukan tanpa menyedari kekuasaan sebenar bukanlah terletak di tangan mereka tetapi di tangan Allah S.W.T.

Jadi, ayuhlah kita bergerak maju ke hadapan, menghayati konsep hijrah Rasulullah S.A.W yang memberi banyak pengajaran kepada kita. Hijrah mengajar kita erti kemenangan jika segala yang kita lakukan adalah berdasarkan syariat yang telah ditetapkan. Kemenangan mutlak akan menjadi milik umat Islam andai keimanan yang jitu diletakkan hanya kepada Allah S.W.T.

Hijrah juga menekankan konsep kebersamaan kita umat Islam sebagaimana Rasulullah S.A.W mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar setibanya mereka di Madinah. Sehinggakan golongan Ansar yang mempunyai lebih daripada satu isteri sanggup menceraikan isteri mereka dan mengahwinkannnya kepada kaum Muhajirin kerana ukhuwah mereka terbina di atas aqidah yang Satu.

Oleh itu,bersamalah kita membina generasi masa hadapan yang lebih gemilang dan cemerlang berlandaskan apa yang telah digariskan syariat. Islam bukanlah mengongkong penganutnya, bahkan kita sendiri yang mengongkong minda dan fikiran kita dari kebenaran yang telah sedia ada di depan mata. Sesungguhnya, sudah terang lagi bersuluh, Islam membawa kita daripada kegelapan kepada cahaya kebenaran.

"Allah Pelindung (bagi) orang-orang yang beriman; DIA mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya."
(Al-Baqarah : 257)

Jom Hijrah ke arah yang lebih baik!!!

No comments: