Sunday, February 7, 2010

Tempoh khidmat wajib doktor di hospital dipendekkan???

07/02/2010 6:27pm

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan sedang menimbang untuk memendekkan tempoh perkhidmatan wajib doktor di hospital kerajaan daripada lima tahun sekarang kepada empat tahun.

Beliau berkata, langkah itu dilihat dapat menarik para doktor untuk terus berkhidmat di hospital-hospital kerajaan secara sukarela.

"Memaksa mereka untuk berbuat demikian adalah tidak bagus,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan B-Nes Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang mengkhususkan kepada pengeluaran produk sarang burung, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah pada 27 Januari lalu bahawa kerajaan sedang meneliti untuk meningkatkan tempoh perkhidmatan wajib doktor di hospital-hospital kerajaan sehingga 10 tahun bagi mengatasi masalah kekurangan doktor.

Sektor awam dilaporkan berdepan dengan kekurangan doktor antara 14,000 dan 15,000 berbanding keperluan 25,000 orang, dan keadaan itu bertambah buruk apabila antara 300 dan 400 doktor meninggalkan perkhidmatan di hospital kerajaan lebih awal setiap tahun.

Kehadiran sekitar 3,000 doktor baru memulakan tugas setiap tahun juga tidak dapat menampung keperluan itu.

Tiong Lai berkata, keputusan mengenai pemendekan tempoh perkhidmatan wajib itu akan dibuat menjelang hujung tahun ini. – Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_26.htm

No comments: