Sunday, February 22, 2009

Kelahiran dan Kematian

Alhamdulillah akhirnya seminar anjuran PERUBATAN Mesir kali kedua berlangsung dengan jayanya walaupun terpaksa menempuh pelbagai ujian dan cabaran. Seminar selama dua hari bermula 11 & 12 Februari 2009 memberi input yang cukup bermakna bagi kami. Tema yang telah dipilih bagi seminar kali ini ialah “ Kelahiran dan Kematian”. Tema ini cukup menyedarkan kita bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Hanya Allah yang mengetahui bila kematian itu datang menjemput. Sebagai manusia, kita hanya mampu berusaha dan selebihnya diserahkan kepada Allah. Firman Allah dalam surah Al-Mulk ayat 2:

Maksudnya:
“Dialah yang mentaqdirkan adanya mati dan hidup (kamu), untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)

Banyak maklumat-maklumat baru berkaitan perubatan dan pendapat para ulama’ berkaitan hukum-hakam dalam perubatan dapat diambil melalui enam kertas kerja yang telah dibentangkan hasil gabungan curahan ilmu oleh senior-senior perubatan yang telah dan akan menamatkan pengajian mereka dan ustaz-ustaz yang mengambil bidang agama di sini. Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah:

1) Kejadian Manusia Menurut Perspektif Islam dan Sains
2) Fiqh Kelahiran; Keperluan Doktor Muslim Menghadapi Kelahiran
3) Perancangan Keluarga; Antara Halal dan Haram
4) Kematian; Fiqh Islami dan Sains
5) Doktor Muslim dan Pengurusan Jenazah
6) Pemindahan Organ pada Suatu Kematian


Kejadian manusia merupakan bukti kekuasaan Allah S.W.T yang tidak dapat disangkal lagi. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang sempurna sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik pencipta. Kemudian, sesungguhnya sesudah itu kamu akan mati. Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.”
(Surah al-Mu’minuun: 12-16)

Ternyata penemuan-penemuan Sains pada hari ini tentang kejadian manusia hasil dari persenyawaan sperma (gamet lelaki) dan ovum (gamet wanita) yang menghasilkan nutfatul amshaj (zigot) tidak menyangkal apa yang telah Allah sebutkan di dalam
Al-Quran kira-kira 1400 tahun yang lalu.

Dan, dalam mengejar kehidupan dunia yang sementara ini, kita juga perlu menyiapkan diri dengan amalan-amalan sebagai bekal menuju akhirat yang kekal abadi kerana kematian itu pada bila-bila masa.

“kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan”
(Surah An-Nahl: 61)

Bersama menghayati kejadian makhluk ciptaan Allah melalui pembacaan dan pemerhatian alam sekeliling yang penuh dengan hikmah kebijaksanaan Allah S.W.T untuk mereka yang mahu berfikir dan mengambil pengajaran daripadanya. Tahniah kepada ajk seminar dan PERUBATAN atas seminar yang menarik dan bagi saya, ia berjaya membuka minda para peserta tentang hukum-hakam Islam dalam perubatan.

Wallahu’alam

No comments: