Friday, February 27, 2009

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W


Wahai manusia,

Dengarlah baik-baik apa yang hendakku katakan ini. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas ini dan sampaikanlah ini kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia,

Sepertimana kamu menganggap bulan dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu menyakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu. Dan DIA pasti akan membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan melibatkan riba dibatalkan sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia (syaitan) telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara kecil.

Wahai manusia,

Sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas diri kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas diri kamu, maka mereka juga berhak diberi makanan dan pakaian dalam suasana bahagia. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan tidak boleh melakukan zina.

Wahai manusia,

Dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah S.W.T, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama. Tidak seorang pun yang lebih mulia kecuali dalam TAQWA dan beramal soleh. Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah S.W.T pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia,

Tidak ada lagi nabi dan rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya; itulah Al-Quran dan Sunnahku. Hendaklah orang yang mendengar ucapanku menyampaikannya kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku sampaikan risalahMU kepada hamba-hambaMU.


-
Khutbah ini disampaikan pada 9 Zulhijjah tahun ke 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.-

No comments: