Thursday, January 29, 2009

Masih belum terlambat

Syukur kepada Allah kerana sehingga hari ini kita masih diberi peluang oleh Allah untuk terus bernafas mengecapi nikmat Iman dan Islam. Bersyukurlah kerana kita dilahirkan sebagai umat Islam dan seharusnya rasa syukur itu kita lipat gandakan dari sehari ke sehari sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih” (Ibrahim: 7)

Alhamdulillah musim peperiksaan selama hampir dua minggu bagi kami yang berada di bumi Mesir telah pun berakhir walau masih ada sesetengah universiti yang masih belum tamat. Pelbagai reaksi dapat dilihat selepas sahaja doktorah (pensyarah) mengumumkan masa menjawab telah tamat. Ada yang gembira, ada juga yang tidak berapa gembira, ada yang cuba untuk selamba, tak kurang juga yang tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Namun, apa jua mimik wajah yang anda pamerkan, janganlah sekali-kali putus untuk berdoa moga Allah berikan yang terbaik buat kita semua. Masih belum terlambat untuk kita memanjatkan doa dan bertawakal kepada Allah.
Maksud firman Allah dalam surah Ath-Thalaaq: 3

“ Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.”

Jadikanlah setiap detik kehidupan kita diwarnai dengan rasa syukur dan tawakal yang tinggi kepada Allah. Nescaya akan tenanglah hati kita walau menghadapi pelbagai onak liku dalam kehidupan. Kejayaan tidak akan berhasil tanpa usaha. Namun, harus diingat, usaha semata bukanlah penentu utama kejayaan tapi hanyalah sebagai pemudah cara untuk mencapai kejayaan. Kejayaan yang hakiki adalah apabila kita meletakkan ‘ghayah’ atau matlamat utama kita kerana Allah. Jadi, mantapkan usaha, banyakkan berdoa dan kukuhkan pergantungan hanya kepada Allah. InsyaAllah kejayaan yang abadi menanti kita di hadapan.

2 comments:

Unknown said...

salam
klau nk tukar tmplate tkar la
ana plih tmplate ni saje2 je.

azliani ismail said...

salam..
syukran