Tuesday, October 20, 2009

H.A.T.I

sudah lama rasanya tidak meng'update' blog ini. Terasa usang. Kali ini, sambil menunggu waktu untuk bergerak ke kuliah, terpanggil untuk mencoretkan sedikit 'input' sebagai tatapan buat saya dan kita semua. Semoga dengan input yang sedikit ini, kita akan beroleh manfaat yang besar.

Hati..tiba-tiba hati saya tertarik untuk membicarakan soal hati (bukan soalnya hati lakonan erra dan afdlin). Seperti mana yang kita sedia maklum, hati merupakan organ dalaman yang mengawal segala tindak-tanduk kita. sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Ketahuilah dalam setiap tubuh (jasad) terdapat seketul daging, jika elok daging itu maka eloklah keseluruhan tubuh badan, dan jika rosak daging itu, maka rosaklah juga seluruh tubuh badan, maka ketahuilah bahawa itu adalah daging."

Jadi di sini dapat kita simpulkan bahawa peranan hati amat penting. Kita perlu mengambil makanan yang sihat untuk memastikan fizikal dan akal kita dapat berfungsi dengan sempurna, maka begitu juga halnya dengan hati. Kita perlu memberinya 'makanan yang berkhasiat' untuk memastikan hati kita bersih dan selamat daripada kekotoran debu-debu kehidupan dunia. Walau setinggi mana pun ilmu yang ada di dada kita, tapi jika hati tidak dijaga, maka ilmu itu tidak memberi manfaat sedikitpun kerana ilmu yang kita miliki tidak berlandaskan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.

Sejarah pembunuhan pertama antara Habeel dan Qabeel, iaitu putera Nabi Adam A.S yang disebabkan oleh ketidakpuasan hati lantaran dengki dalam mendapatkan calon isteri yang telah ditetapkan. Begitu juga jika dilihat jenayah-jenayah yang berlaku di negara kita saban waktu adalah disebabkan oleh kekangan hawa nafsu. Maka benarlah hadis Rasulullah S.A.W di atas.

Fathi Yakan dalam bukunya "Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah" menjelaskan antara tanda-tanda hati itu masih hidup:
1) Ia masih boleh bergetar dan teralun oleh zikrullah, ayat Al-Quran dan berbagai jenis ibadah.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut "ALLAH", gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNYA, bertambahlah keimanannya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal."
(surah Al-Anfal: ayat 2)

2) Kuatnya seseorang itu berpegang kepada agama. Tidak takut kecuali kepada Allah S.W.T sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya:

"Sesungguhnya di bumi Allah ini terdapat bejana-bejana; iaitu hati-hati (hambanya). Yang paling disayanginya adalah yang paling lembut, paling jernih, paling teguh. Kemudian Rasulullah menjelaskan lagi yang paling teguh berpegang kepada agama, paling jernih dalam keyakinannya dan yang paling lembut terhadap sahabat."

3) Takut terhadap Allah S.W.T dan kemurkaanNYA. Menjauhkan diri dari segala yang diharamkan oleh Allah dan mengelak dari penderhakaan.
Firman Allah dalam surah Al-A'raf : ayat 201:

maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ketika mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka segera mengingati "ALLAH" dan ketika itu juga mereka sedar kesalahan-kesalahan mereka."

Antara cara-cara menjaga hati :
1) Zikrullah
~sentiasa mengamalkan zikrullah walau di mana berada. melazimi hari dengan membaca ma'thurat dan zikir-zikir harian yang lain. Insya Allah, biiznillah hati akan sentiasa hidup dan jernih kerana mendapat makanan rohani yang diinginkannya.

2) Muraqabatullah (mendekatkan diri kepada Allah)
~sentiasa mendekatkan diri kepada Allah untuk mengelakkan kita dari tergelincir dari landasan yang benar. Hati akan sentiasa menurut kemahuan Allah dan bukan mengikut kehendak diri sendiri yang terkadang terpesong.
Urusan hidup terbahagi kepada 3:
i) suatu yang jelas baik dan wajar - maka hendaklah dituruti
ii) suatu yang jelas buruk dan merugikan - hendaklah dihindari
iii) suatu yang kabur - maka hendaklah ditanyakan kepada orang yang mengetahui

3) Berjihad melawan Nafsu
~ Yahya bin Mu'az berpesan: "Berjihadlah melawan nafsu dengan riadah (latihan rohani).
i) Sedikit makan
ii) Sedikit tidur
iii) Bercakap sekadar perlu
iv) Sabar menanggung gangguan orang lain

Antara doa yang digalakkan untuk kita selalu amalkan supaya Allah sentiasa memelihara hati kita dari terpesong:
يا مقلب القلوب, ثبت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك"
"Wahai Tuhan yang sentiasa membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami atas agama-Mu dan ketaatan kepada-MU"
Semoga kita sentiasa dipelihara Allah daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan hati..wallahu'alam









No comments: